Rukun Umrah

Rukun Umrah | Teguh Prasetyo

Rukun Umrah Yang Patut Anda Tahu

Rukun Umrah adalah perkara yang wajib dilaksanakan oleh jemaah umrah sekiranya mahu menunaikan umrah dengan sah. Sekiranya salah satu daripada Rukun Umrah ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja, ibadah umrah tersebut akan menjadi tidak sah. Ada 5 perkara di dalam Rukun Umrah yang wajib dilaksanakan. Juga pelaksanaannya tidak boleh dilakukan dengan mewakilkannya kepada orang lain. Ia nya adalah tanggungjawab bagi seorang jemaah untuk melakukannya sendiri.

5 Rukun Umrah;

  1. Niat
  2. Tawaf
  3. Sa’ie
  4. Tahalul/Bercukur
  5. Tertib

1. Niat

Sebelum memulakan sebarang ibadah, kita hendaklah berniat dan seeloknya melafazkan niat ibadah Lillah hi Taala (kerana Allah SWT) . Niat umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Jika jemaah itu tidak melafaz niat sama ada sengaja atau tidak umrahnya menjadi tidak sah. 

niat rukun umrah | Teguh Prasetyo

 

 

 

Maksudnya: “Sahaja aku berniat umrah dan berihram aku untuk melaksanakannya kerana Allah Ta’ala.”

2. Tawaf

Ibadah Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali dimana posisi Kaabah mesti di sebelah kiri jemaah dan jemaah akan mengelilingi berlawanan arah jam. Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hijr al-aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama seperti gambaran diatas.

Ibadah Tawaf ialah satu rukun umrah yang sangat penting dalam menunaikan ibadah umrah. Sekiranya tawaf tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna mengikut syarat-syaratnya, ianya akan menjadi tidak sah dan dengan itu Sa’ie, iaitu rukun yang seterusnya juga akan menjadi tidak sah. Jemaah haruslah memastikan Ibadah Tawaf ini dilakukan dengan sempurna.

 

Maksudnya: “Sahaja aku berniat umrah dan berihram aku untuk melaksanakannya kerana Allah Ta’ala.”

Syarat – syarat sah Ibadah Tawaf:

  • Niat mengelilingi Kaabah semata-mata untuk menunaikan Ibadah Tawaf kerana Allah S.W.T. Lafaz niat Ibadah Tawaf Umrah seperti berikut:Maksudnya: “Aku berniat Tawaf Umrah di Ka’abah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala.”
  • Ibadah Tawaf hendaklah dilaksanakan di luar Kaabah tetapi di dalam kawasan Masjidil Haram. Ibadah Tawaf juga boleh dilaksanakan di bahagian atas Masjidil Haram tetapi mesti memastikan bahu jemaah sentiasa mengiringi Kaabah.
  • Jemaah tidak boleh sentuh mana-mana bahagian Kaabah termasuklah  Syazarwan (bingkai Kaabah) semasa melaksanakan Ibadah Tawaf.
  • Jemaah tidak boleh guna laluan di bawah pancur emas antara Hijr Ismail dengan Kaabah (kerana Hijr Ismail juga adalah dikira sebahagian daripada Kaabah).
  • Sepanjang laluan untuk melaksanakan Ibadah Tawaf hendaklah bersih daripada najis.
  • Perjalanan Ibadah Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hijr al-aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama seperti gambaran di atas.
  • Ibadah Tawaf hendaklah dilaksanakan sebanyak 7 pusingan dengan  sempurna dan yakin.
  • Jemaah mesti memastikan Kaabah berada di kiri bahu sepanjang masa menunaikan Ibadah Tawaf. Jemaah haruslah memberi sepenuhnya perhatian, khususnya bila tiba di penjuru-penjuru Kaabah.
  • Jemaah haruslah suci daripada hadas kecil (yakni berwuduk).
  • Jemaah haruslah suci daripada hadas besar.
  • Jemaah haruslah memastikan badan dan pakaian mesti suci daripada najis. (mendukung anak lelaki yang belum berkhatan adalah dianggap membawa najis yang menyebabkan Ibadah Tawaf menjadi tidak sah).
  • Jemaah haruslah memastikan aurat ditutupkan dengan sempurna.

Kelebihan dan Hikmah Tawaf

Ibadah tawaf di keliling Kaabah  dimulakan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s dan sekeluarganya ribuan tahun yang lalu dan juga amalan amalan para malaikat. Sesiapa orang yang berada di Masjid Haram Allah SWT akan menurunkan pada nya setiap hari sebanyak 120 rahmat, 60 rahmat bagi sesiapa yang telah tawaf, 40 rahmat kepada sesiapa yang menunaikan solat  dan 20 rahmat kepada sesiapa yang hanya memandang Kaabah.

Ibadah Tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak 7 pusingan adalah semata mata untuk memuji kebesaran Allah SWT dan kekuasaanNya, dan bukannya untuk memuja dan mendewakan Kaabah yang hanya berbentuk kubus dan dibina oleh manusia.

Mengapa 7 kali pusingan? 7 adalah bilangan banyak yang paling minima dan 7 kali tawaf sudah dikira cukup banyak bagi anak-anak Adam yang mempunyai kekuatan yang terbatas jika dibandingkan dengan kekuatan para malaikat. 7 juga adalah angka ganjil dan Allah SWT suka kepada angka ganjil.

Rasulullah SAW telah menyuruh para sahabatnya berlari kecil pada 3 pusingan pertama dan diberitahu bahawa penduduk Mekah mencemuh dan mengejek para sahabat yang tawaf dalam keadaan kelihatan letih setelah berjalan jarak jauh. Ini adalah bertujuan untuk membuktikan bahawa tuduhan kaum musyrikin Mekah tidak benar sama sekali kerana kaum muslimin kebanyakkanya masih sihat dan bertenaga tubuh badannya walaupun setelah berjalan jauh.

Mereka juga disuruh membuka bahu baju dan lengan di sebelah kanan supaya dapat menunjukkan kekuatan lengan kepada musuh kaum muslimin. Sebab itulah jemaah haji dan umrah di syaratkan bahu kiri hendaklah sentiasa mengarah ke Kaabah. Jemaah juga perlu memastikan sentiasa berpusing mengelilingi Kaabah ke arah kiri sahaja.

 

3. Sa’ie

 

Ibadah Saie merupakan salah satu rukun Haji dan Umrah yang dilakukan dengan berlari-lari anak atau berjalan cepat sebanyak 7 kali perjalanan ulang-alik yang dimulai dari Bukit Safa’ dan berakhir di Bukit Marwah. Kedua bukit tersebut yang satu sama lainnya berjarak sekitar 405 meter. Ketika melintasi  Bathnul Waadi, iaitu kawasan yang terletak di antara Bukit Safa’ dan Bukit Marwah para jemaah lelaki disunatkan untuk berlari-lari anak, sedangkan untuk jemaah wanita berjalan cepat.

Ibadah Sa’ie adalah juga merupakan satu rukun yang amat penting dan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Walaupun begitu sahnya Ibadah Sa’ie adalah bergantung kepada sahnya Tawaf. Jika Tawaf tidak sah maka Sa’ie yang walaupun dibuat dengan sempurna akan turut menjadi tidak sah.

Lafaz niat Sa’i ialah:

Maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku, sahaja aku berSa’ie di antara Safa dan Marwah tujuh kali Sa’ie Umrah kerana Allah Taala”

Syarat-syarat sah Sa’ie:

– Ibadah Sa’ie hendaklah dilakukan selepas Tawaf.

– Niat dan tujuan hendaklah semata-mata untuk Sa’ie.

– Ibadah Sa’ie hendaklah dimulakan dari Bukit Safa dan akhir di Bukit Marwah.

– Ibadah Sa’ie dilakukan sempurna bilangan sebanyak 7 kali. Perjalanan balik dari Marwah ke Safa dikira sekali pula. Jarak perjalanan Safa ke Marwah dikira dari kaki bukit ke kaki bukit.

– Sepanjang perjalanan dari Safa ke Marwah dan sebaliknya haruslah tidak terputus yakni jemaah tidak boleh melencong keluar melalui satu pintu dan masuk semula menerusi satu pintu yang  lain.

– Ibadah Sa’ie diwajibkan berwuduk dan pusingan yang berturut-turut hukumnya sunat sahaja

Hikmat berSa’ie di Safa dan Marwah

Ibadah Sa’ie adalah sempena menghayati atau mencontohi kembali amalan Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim a.s yang dimuliakan oleh Allah. Siti Hajar telah berjalan kaki dan berlari-lari di antara bukit Safa dan Marwah untuk mencari air untuk si anak kecil kesayangannya Nabi Ismail a.s. Siti Hajar telah berjalan ketika pergi dan berlari ketika pulang sebaik di dengar suara tangisan Nabi Ismail a.s yang telah ditinggalkan untuk tidur sendirian. Siti Hajar telah menempuhi pengalaman pahit. Setelah beakhirnya pengalaman pahit dan perit itu, beliau telah berjaya melaluinya dengan tabah demi mematuhi segala perintah Allah SWT. Maka seseorang yang mengerjakan Ibadah Sa’ie seharusnya mencontohi dan mengenangkan kembali pengalaman pahit dan perit yang telah dilalui oleh Siti Hajar.

4. Tahallul / Bercukur

 

Bertahallul atau bercukur bermakna melepaskan diri dari larangan ihram menurut cara yang ditetapkan dan adalah rukun umrah untuk menunaikan ibadah umrah. Untuk menunaikan ibadah umrah seseorang jemaah itu boleh bertahallul setelah selesai melaksanakan dengan sempurna semua kerja-kerja rukun yang lain iaitu niat, tawaf dan Sa’ie.

Syarat Tahallul

Jemaah sekurang-kurangnya menggunakan tiga helai rambut (bukan bulu) dengan cara bergunting atau dengan cara–cara lain. Tetapi untuk jemaah lelaki adalah lebih afdhal untuk mencukur kepalanya. Bagi orang yang kepalanya tidak mempunyai rambut atau botak ianya adalah memadai jika dilalukan pisau sahaja di atas kepalanya.

Perkara-perkara yang berkaitan dengan jemaah wanita:

– Jemaah wanita yang mempunyai rambut panjang boleh memotong dari mana-mana bahagian rambutnya untuk tahallul asalkan tidak kurang dari tiga helai.

– Suami boleh menolong gunting rambut sang isteri sebelum menggunting rambutnya sendiri selepas kedua-duanya selesai Sa’ie umrah. Tetapi adalah sebaik-baiknya suami menggunting rambutnya dulu.

– Perempuan haid juga boleh bertahallul dan rambut yang dipotong perlu dimasukkan ke dalam bekas yang akan disediakan.

Hikmah bertahalul(bercukur atau bergunting)

Sebagai lambang kebersihan dan kekemasan diri khususnya bagi para musafir yang baru selesai melalui berbagai cabaran, maka membuang, mencukur dan memotong sebahagian rambut yang tidak kemas dengan tujuan untuk mendandannya tleah menjadi suatu tradisi

5. Tertib

Para jemaah hendaklah melaksanakan segala Rukun Umrah satu persatu dengan sempurna, mengikut tertibnya(aturan) tanpa meninggalkan salah satu daripadanya.